Monday, September 14, 2009

Sekolah dibenar ambil cuti peristiwa sempena Aidilfitri


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah mengambil cuti peristiwa atau cuti berganti sempena Aidilfitri yang dijangka disambut pada Ahad atau Isnin ini berikutan permohonan daripada pihak sekolah dan kalangan ibu bapa.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata keputusan itu diambil bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga untuk bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya.

"Setelah meneliti permohonan dan pandangan yang dikemukakan, Kementerian Pelajaran bersetuju memberi kebenaran kepada sekolah-sekolah untuk mengambil cuti peristiwa iaitu bagi sekolah yang masih mempunyai baki cuti peristiwa, atau cuti berganti bagi sekolah-sekolah yang telah habis cuti peristiwanya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, sekolah di negeri yang hari hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu boleh bercuti pada Khamis 17 September manakala sekolah di negeri yang hari hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad dibenarkan bercuti pada Jumaat, 18 September.

"Sekolah-sekolah yang mengambil cuti berganti hendaklah menggantikan hari persekolahan itu pada Sabtu, 31 Oktober," katanya.

Beliau berkata semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri telah diarahkan supaya meluluskan cuti tambahan itu mengikut kes-kes yang memohon sahaja manakala semua Pejabat Pelajaran Daerah dikehendaki memantau pelaksanaannya. - Bernama

0 comments:

Followers

Pengunjung

Top Viewer

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP